RAMALLAH, 14 Mac: Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) Philippe Lazzarini memberi amaran bahawa kegagalan agensi itu beroperasi akan menyebabkan satu generasi kanak-kanak Palestin kehilangan akses kepada pendidikan, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
Dalam satu kenyataan media, Lazzarini berkata terdapat “risiko sebenar bahawa agensi ini akan runtuh dan berakhir” sekiranya krisis kewangan yang dihadapinya berterusan.
Beliau berkata jika UNRWA gagal beroperasi, “kita pasti akan mengorbankan satu generasi kanak-kanak yang tidak akan mendapat pendidikan yang sewajarnya.”
Lazzarini menyifatkan UNRWA sebagai “talian hayat” bagi kira-kira enam juta pelarian Palestin di Semenanjung Gaza, Tebing Barat, Lubnan, Jordan, dan Syria. -TVS