SAMARAHAN, 14 MAC: Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM299,500 dalam Program Semarak Ukhwah Parlimen Kota Samarahan di Dewan Dato’ Wan Ahmad Shabri Zainuddin, RISDA Negeri Sarawak di sini pada Jumaat.
Memetik laporan UKAS, geran tersebut diserahkan kepada 79 organisasi, merangkumi jawatankuasa 39 masjid, 37 surau dan sebuah pusat tahfiz dalam kawasan Parlimen Kota Samarahan.
Dalam ucapannya, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Samarahan menegaskan kepentingan penggunaan dana tersebut secara berhemah bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh masyarakat setempat.
Beliau berharap peruntukan yang disalurkan akan membantu masjid dan surau memperkasa aktiviti keagamaan di kampung masing-masing, selaras dengan usaha mengimarahkan institusi keagamaan di kawasan Parlimen Kota Samarahan.
Turut hadir, wakil Residen Bahagian Samarahan, Hassanal Abdul Wahid, Pegawai Agama Islam Bahagian Samarahan, Bahrain Kawi, Penolong Pegawai Daerah Samarahan, Hayati Sahari dan Temenggung Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Chek Bujang.