KUCHING, 13 Mac: Syarikat SESCO Berhad (SESCO) mengesahkan bahawa gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan kawasan Batu Kawa dan MJC pada malam 11 Mac berpunca kerana seekor ular di peralatan elektrik di persimpangan Batu Kawa-Malihah.
Anak syarikat Sarawak Energy Berhad itu menjelaskan, kejadian itu berlaku pada pukul 8.31 malam ketika hujan lebat.
“Setelah menerima laporan, pasukan teknikal SESCO bertindak segera untuk memulihkan bekalan dengan selamat dan cekap walaupun dalam keadaan cuaca yang buruk.
“Bekalan elektrik dipulihkan secara berperingkat, dengan pemulihan sepenuhnya pada pukul 10.45 malam itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, kerosakan peralatan seterusnya menyebabkan satu lagi kegagalan bekalan di Riccarton Avenue, Moyan Mall, Batu Kawa Commercial Centre, Batu Kawa New Bazaar dan Rantau Panjang sebelum bekalan dipulihkan sepenuhnya pada pukul 11.39 malam.
“Keutamaan kami adalah untuk memulihkan bekalan elektrik dengan selamat dan cepat. Kami menghargai kesabaran dan pemahaman pelanggan kami semasa pasukan kami bekerja dalam keadaan yang mencabar untuk menyelesaikan pemulihan,” kata Pengurus Wilayah Sarawak Energy untuk Wilayah Barat, Effendy Syaiful Abdullah.
Jelasnya, memastikan bekalan elektrik terjamin sepanjang masa mempunyai cabaran tertentu kerana kabelnya melalui hutan, ladang, kebun dan sebagainya.
“Ini meningkatkan risiko gangguan yang disebabkan oleh hidupan liar, yang terus ditangani oleh SESCO melalui langkah-langkah perlindungan infrastruktur yang dipertingkatkan dan penambahbaikan sistem yang berterusan.
“SESCO komited untuk memperkukuhkan infrastruktur dan keupayaan responsnya bagi meminimumkan gangguan dan meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan untuk semua pelanggan,” katanya.