KUCHING, 13 Mac: Larian Baton Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak (SOPMA) 2025 bakal menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran dan sokongan terhadap komuniti pekak.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin memberikan sokongan padu terhadap acara ini yang memberi manfaat kepada komuniti pekak dan berkongsi pelibatannya dalam memperjuangkan kepentingan atlet pekak sejak menjawat jawatan sebagai Menteri Muda Belia dan Sukan.
Beliau berkata menerusi kenyataan sempena kunjungan hormat Jawatankuasa Penganjur Larian Baton SOMPA 2025 ke pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, semalam.
Kim Shin turut menggalakkan masyarakat untuk menyertai larian ini bagi memberi sokongan kepada komuniti pekak.
“Larian ini akan bermula di Miri pada 4 Mei, diikuti Bintulu pada 18 Mei, Sibu pada 25 Mei, dan kemuncaknya di Kuching pada 8 Jun,” jelasnya.
Dalam pertemuan tersebut, beliau juga menerima jemputan rasmi untuk merasmikan majlis pelepasan acara di Miri.
Pengerusi Penganjur, Victor Hii Lik Nguong berkata matlamat acara ini adalah untuk mengumpul dana bagi SOMPA XXII Sarawak 2025 serta aktiviti sukan tahunan lain.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, peserta boleh melayari laman rasmi SOPMA Sarawak (https://www.ticket2u.com.my/event/40069/sopma-baton-run-2025). -TVS