PUTRAJAYA, 13 Mac: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan pelaburan dana berjumlah RM1.1 bilion daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) kepada Sapura Energy Berhad (SEB) merupakan modal pinjaman dan bukannya ‘bailout’ oleh kerajaan seperti mana yang didakwa sesetengah pihak.
Beliau berkata, dana itu tidak disalurkan secara terus kepada pihak SEB, sebaliknya digunakan untuk membayar tunggakan 2,000 vendor.
“Apakah ia dana hangus?, tidak kerana ia merupakan modal pinjaman supaya pengurusan baharu dapat uruskannya dengan baik dan dapatkan keuntungan untuk bayar semula.
“Ini dilaksanakan dalam bentuk pinjaman,” katanya pada Perhimpunan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, dana itu bukan bantuan untuk menyelamatkan syarikat besar seperti yang dilakukan kerajaan terdahulu, tetapi keputusannya mengambil kita beberapa perkara termasuk melakukan forensik audit terhadap SEB.
“Kalau saya diberi pilihan, saya tidak senang dengan cara kita (kerajaan) selamatkan syarikat – syarikat besar, sedangkan puluhan ribu syarikat kecil terlantar dan dipinggirkan.
“Tetapi dalam kes ini, ia bukan seperti direncakan dulu, kita (kerajaan) mulakan forensik audit untuk kenal pasti permasalahan dan lakukan siasatan sekiranya terdapat penyelewengan, atau keterlanjuran,” ujarnya.
Anwar menjelaskan, adalah tidak adil bagi kerajaan untuk tidak mengambil langkah berkenaan kerana ia akan menghukum vendor – vendor yang tidak menerima bayaran setelah melakukan kerja – kerja mereka.
Pada masa sama, beliau berkata, adalah tidak wajar bagi kerajaan membiarkan SEB berdepan tindakan bankrap, oleh kerana ia merupakan syarikat penting negara dalam industri gas dan minyak.
“Ini satu-satunya syarikat yang boleh beroperasi di bawah kita (kerajaan). Kalau tutup, maka tiada lagi syarikat yang mampu mengendali peringkat hiliran atau peringkat pelaksanaan bawahan dalam negara dan kita terpaksa serah kepada syarikat asing,” katanya.
Pada Isnin, SEB memperoleh RM1.1 bilion pelaburan daripada Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH) melalui langganan nilai nominal saham pinjaman boleh ditebus (RCLS) syarikat itu.
SEB berkata ia telah memeterai perjanjian sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula kewangannya. – TVS