KUCHING, 13 Mac: Penunggang dan pembonceng motosikal maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan kereta di Jalan Astana di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata dalam kejadian sekitar 11 malam itu, mangsa yang terkorban merupakan warga tempatan berumur 31 tahun dan 32 tahun.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal yang bergerak lurus di Jalan Astana telah melanggar sebuah kereta yang sedang membelok ke persimpangan Lorong 5, Jalan Astana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang meninggal dunia semasa menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Umum Sarawak.
Pemandu kereta merupakan seorang lelaki tempatan dan tidak mengalami sebarang kecederaan ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.