KUALA LUMPUR, 13 Mac: Kerajaan menyasarkan untuk membuka 30 Kiosk Sentuhan MADANI di seluruh negara, kata Anthony Loke.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, lokasi strategik akan dikenal pasti bagi penempatan kiosk tersebut.
“Sebanyak 30 kiosk akan dibuka di 30 lokasi strategik di seluruh negara dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kiosk Sentuhan MADANI kedua di KL Sentral, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Terdahulu ketika berucap Anthony berkata KL Sentral dipilih kerana kedudukannya sebagai hab pengangkutan utama yang menghubungkan lebih 220,000 penumpang setiap hari.
“Dengan lebih daripada 220,000 penumpang melalui KL Sentral setiap hari, ia terus memainkan peranan penting sebagai hab utama yang menghubungkan masyarakat serta menyokong mobiliti yang lancar.
“Manfaatkan aliran penumpang yang tinggi ini untuk memberikan kemudahan kepada masyarakat yang sering berulang-alik dan memastikan perkhidmatan penting tersedia di lokasi yang paling sesuai,” katanya.
Anthony turut mengumumkan bahawa Kiosk Sentuhan MADANI ketiga akan dibuka di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya, pada penghujung April ini dengan kerjasama pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut.
“Sebagai salah satu pusat beli-belah terbesar, One Utama merupakan lokasi yang sangat strategik kerana menjadi tumpuan orang ramai di kawasan tersebut untuk menggunakan perkhidmatan awam.
“Dengan pendekatan ini, kita berharap Kiosk Sentuhan MADANI dapat menjadi model kepada transformasi perkhidmatan awam yang lebih mesra rakyat,” katanya lagi.
Untuk rekod, Kiosk Sentuhan MADANI pertama dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Alamanda, Putrajaya, pada awal tahun ini.
Kiosk ini menghimpunkan lebih 100 perkhidmatan kerajaan daripada enam agensi utama, iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pos Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), dan MyDigital ID.
Kiosk ini merupakan cetusan idea Perdana Menteri di bawah Belanjawan 2025 bagi mempercepatkan pendigitalan serta penyatuan perkhidmatan kerajaan di lokasi strategik, sekali gus memudahkan rakyat berurusan di luar waktu pejabat. – TVS