MUKAH, 13 Mac: Sebuah kapal layar milik warganegara China yang mengalami kerosakan telah terdampar di tepi pantai Muara Sungai Mukah semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias, berkata terdapat tiga lelaki warga China berada di dalam kapal tersebut.
“Difahamkan, sekitar jam 6 pagi pada 8 Mac lalu, mereka belayar pulang dari Pulau Phuket, Thailand menuju ke China.
“Namun, ketika melalui perairan Sarawak, enjin kapal layar mengalami kerosakan, menyebabkan ia terdampar di tepi pantai Muara Sungai Mukah semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Rizal, cubaan membaiki enjin kapal layar tersebut menyebabkan mereka terpaksa masuk ke Muara Sungai Mukah dengan menaiki bot kecil.
Beliau menjelaskan bahawa dalam perjalanan menuju ke Muara Sungai Mukah, salah seorang daripada mereka telah tercicir beg galas yang mengandungi dokumen penting dan barang peribadi, termasuk pasport.
“Ketiga-tiga mereka telah diperkenalkan oleh penduduk Kampung Seberang kepada seorang lelaki Cina tempatan sebelum membuat laporan polis untuk rujukan pihak Kedutaan China di Malaysia serta pihak berkaitan.
“Mereka juga membuat laporan untuk memaklumkan pihak Kedutaan China di Malaysia dan bagi mendapatkan gantian pasport baharu,” katanya lagi.
Tambah Rizal, pihaknya akan melaporkan kejadian ini kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSSS), dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Cawangan Mukah. -TVS