KUCHING, 13 Mac: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman memberi jaminan sentiasa memantau kemajuan projek naik taraf dan pembesaran Jalan Matang.
Fazzrudin yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, berkata beliau juga sentiasa memohon kemas kini daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor supaya projek tersebut dapat disiapkan secepat mungkin.

Menerusi hantaran di Facebooknya selepas melawat tapak projek tersebut hari ini, beliau berkata jalan baharu telah hampir siap di beberapa tempat manakala jalan lama melalui proses penurapan.
“Bagaimanapun, ada beberapa tempat yang belum diturap untuk memberi laluan kepada pengalihan kabel bawah tanah,” katanya.
Jelasnya, beliau dimaklumkan oleh JKR bahawa tahap kemajuan projek kini berada lebih awal dari dijadualkan.
“Namun begitu, saya menggesa agar pihak kontraktor dan JKR mempercepatkan lagi proses pembinaan termasuk menjaga keselamatan pengguna jalan dan keadaan lalu lintas,” katanya.