BALING, 13 Mac: Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda maut selepas kereta jenis Perodua Kancil yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori tanah di Simpang Tiga Lubuk Kawah, Jalan Kuala Ketil menghala Bukit Selambau dekat sini, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Lans Koperal (PA)Â Muhammad Faiz Rozaini, 31 tahun.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda Kapten (PA)Â Amirul Asyraf Mohamad Mayidin berkata dalam kejadian pada 3.15 petang itu, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sri Astana selepas berkunjung ke rumah ibunya di Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau.
“Mangsa dilaporkan tersepit di bahagian pemandu dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Anggota bomba kemudiannya mengeluarkan mangsa daripada kenderaan terbabit.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Klinik Kesihatan Kuala Ketil pada 3.50 petang tadi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Selambau, dekat sini. -TVS