KUCHING, 14 Mac: Lapan atlet petanque dari Sarawak berjaya melepasi saringan awal pemilihan skuad kebangsaan untuk mewakili Malaysia ke Sukan SEA 2025 di Thailand pada Disember nanti.
Menurut Pengurus Pemain Yazit Belon, atlet Sarawak mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang sesi pemilihan yang berlangsung selama dua hari di Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Februari lalu.
“Lapan atlet tersebut Nur Durratul Iffah Yazit, Nur Durratul Sahira Yazit, Sharifah Daniamalyana Wan Deros, Ain Afzan Aisyah, Abang Harith Oris, Aniq Ashraf Mohamad Hafizul, Akhtar Shauqi Aini Mohd Dom dan Farid Amirul Muhamad.
“Dua daripada mereka, Nur Durratul Iffah Yazit dan Akhtar Shauqi Aini Mohd Dom layak secara automatik melalui kuota pingat Sukan SEA 2023, manakala enam atlet lain dipilih berdasarkan kejayaan mereka meraih pingat dalam kejohanan Sukan Malaysia SUKMA 2024,” kata Yazit Belon ketika dihubungi TVS.
Dalam pada itu Yazit menambah, kejayaan tersebut turut dipacu oleh kehadiran jurulatih berpengalaman dari Thailand iaitu jurulatih Kant, yang banyak membantu atlet dari segi meningkatkan mutu permainan mereka.
Tambah Yazit yang juga bekas Pengurus Pasukan Petanque Sarawak SUKMA 2024, dedikasi jurulatih Kant memberi impak besar apabila keempat-empat pemain wanita Sarawak dipilih dalam pemilihan awal, begitu juga dalam kategori lelaki.
“Jurulatih Kant bukanlah nama asing dalam dunia petanque Malaysia kerana kepakaran dan pengalaman beliau telah membantu ramai atlet tempatan meningkatkan prestasi mereka ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya lagi.
Oleh yang demikian Yazit secara peribadi berharap sekiranya terdapat dana mencukupi, pihaknya berhasrat untuk mendapatkan khidmat jurulatih asal Thailand itu.
“Saya secara peribadi berharap sebelum atlet kita ke pemilihan akhir, jika ada dana yang mencukupi, kita boleh membawa semula jurulatih Kant ke Kuching bagi membantu mereka menjalani latihan intensif sebagai persiapan terakhir,” katanya.
Proses pemilihan akhir akan menentukan senarai muktamad pemain yang akan membawa cabaran negara di temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu. – TVS