CYBERJAYA, 12 Mac: Syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diminta untuk terlibat sama dalam program Kampung Angkat MADANI di bawah inisiatif kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarikat-syarikat tersebut boleh memilih kampung asal mereka dan seterusnya mendalami permasalahan yang dihadapi warga di sana.
“Anda mempunyai pengalaman turun ke bawah (lapangan), jadi pilih kampung asal dan lihat sekiranya ada masalah yang berlarutan di kawasan itu seperti isu pertanian atau kemudahan fasiliti kesihatan.
“Semua masalah itu akan dimaklumkan kepada anda,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Syarikat Korporat dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sekiranya seruan itu disahut, pihaknya yakin jumlah Kampung Angkat MADANI yang kini mencecah 200 dapat ditingkatkan sehingga 400 kampung.
Dalam pada itu, Anwar turut melontarkan cadangan agar syarikat-syarikat yang mempunyai kemampuan dari aspek kewangan dapat membantu kerajaan dalam inisiatif sekolah angkat.
Anwar menjelaskan, seruan itu dibuat mengambil kira jumlah sekolah yang dikategorikan sebagai teruk telah mencecah 8,600 di seluruh negara.
“Soal sekolah angkat ini, saya cadangkan tahun ini, pilih sekolah yang terpinggir atau terletak di pedalaman Sabah dan Sarawak untuk dibantu.
“Mudah-mudahan kita (kerajaan) dapat 200 sekolah yang akan dipantau secara langsung,” katanya. – TVS