KOTA BHARU, 12 Mac: Polis telah meluluskan 225 permit jualan bunga api dan mercun di negeri ini sejak 6 Mac lepas hingga semalam, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Beliau berkata pihaknya menerima 363 permohonan bagi penjualan bunga api dan mercun sepanjang musim perayaan ini.
“Daripada jumlah permohonan itu, 225 diluluskan, 135 dalam proses kelulusan, manakala tiga permohonan tidak diluluskan.
“Permohonan paling banyak ialah jajahan Kota Bharu iaitu 176, diikuti Tumpat (51) dan Pasir Puteh (30),” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Beliau berkata sepanjang Ramadan ini, pihaknya akan melakukan rondaan secara berterusan bagi memastikan mercun dan bunga api dijual dibenarkan pihak berkuasa sebagaimana dalam permohonan peniaga. – TVS