Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil Foto fail TVS

Pengurusan tertinggi META bakal adakan sesi libat urus bersama SKMM – Fahmi

ByIqbal Asraff Mohamad Yusuf

PUTRAJAYA, 13 Mac: Pengurusan tertinggi Meta Platforms Inc. (META), yang mengendalikan Facebook, Instagram dan WhatsApp, akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu perolehan operasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang masih belum selesai sehingga kini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pihaknya bersetuju untuk memberi sedikit lagi masa kepada META untuk mengadakan sesi libat urus dan perbincangan bersama SKMM, namun beliau menegaskan bahawa ia harus disusuli dengan keputusan akhir.

“TikTok, WeChat dan Telegram telah memperoleh lesen operasi, manakala META masih dalam perbincangan dengan mereka yang mempunyai hujah-hujah tersendiri.

“Kita (Kementerian Komunikasi) berikan META sedikit lagi masa. Bagi platform X pula, mereka masih berpandangan bahawa mereka tidak mempunyai jumlah pengguna yang mencukupi,” katanya dalam sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi memberitahu bahawa pihaknya akan meneliti langkah-langkah yang boleh diambil untuk menggesa META dan platform-platform lain memperkenalkan proses verifikasi atau pengesahan identiti bagi pengguna yang ingin memuat naik iklan.

Jelasnya, langkah itu bertujuan mengekang penipuan dalam talian, terutamanya ‘deepfake’, yang kini menjadi ancaman kepada pengguna.

Menurutnya, pihaknya juga akan mengambil kira pendekatan yang diguna pakai oleh Kerajaan Singapura, yang mewajibkan pengendali platform berbuat demikian.

“Saya lihat apa yang diusahakan di Singapura itu mungkin memberi ruang kepada Malaysia untuk turut menggesa META dan platform-platform lain melarang iklan-iklan palsu ini serta, pada masa yang sama, mengenakan sekatan kepada pengguna yang memuat naiknya.

“Kita juga mahu proses verifikasi atau pengesahan identiti dibuat ke atas pengguna yang memuat naik iklan. Kita akan teliti perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan lima video ‘deepfake’ berkaitan penipuan pelaburan yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan telah diviralkan di media sosial sejak tahun lepas.

Video-video berkenaan dikesan memaparkan ahli politik dan wakil syarikat ternama, dengan video terbaharu yang menunjukkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan