KUCHING, 12 Mac: Cabaran dalam memindahkan infrastruktur utiliti seperti saluran paip dan kabel bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf Jalan Matang kini telah dapat diatasi.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dr Cassidy Morris, berkata projek naik taraf jalan tersebut kini berada dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada Ogos 2026.
“Memang benar projek ini agak lambat disiapkan, tetapi kini sudah mencapai 43 peratus kemajuan pelaksanaannya,” katanya dalam program temu bual Dialog TVS yang disiarkan baru-baru ini.
Jelasnya, proses pemindahan paip air agak rumit kerana ia merupakan saluran utama bekalan air ke bandar Kuching.
“Kita harus memindahkan utiliti ini terlebih dahulu sebelum dapat membina jalan empat lorong,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan TVS hari ini mendapati kerja-kerja menaik taraf laluan lama di Jalan Matang sedang dilakukan.
Sehubungan itu, jalan baharu juga telah dibuka untuk kenderaan bagi memberi laluan kerja-kerja menaik taraf jalan lama yang terletak bersebelahan.