TOKYO, 12 Mac: Beberapa mayat ditemukan dalam bangkai dua helikopter peronda Pasukan Pertahanan Diri Maritim (MSDF) Jepun yang berjaya dikeluarkan dari Lautan Pasifik.
Kedua-dua pesawat itu berlanggar pada April 2024. Pihak berkuasa sedang berusaha mengenal pasti mangsa, lapor agensi berita Kyodo pada Rabu.
Lapan anggota berada dalam dua helikopter SH-60K berkenaan ketika pesawat mereka terhempas semasa latihan pada waktu malam. Sebelum operasi menyelamat dilakukan, hanya satu mayat berjaya ditemukan.
MSDF menyatakan bahawa bangkai pesawat itu berjaya dikeluarkan daripada kedalaman kira-kira 5,500 meter, dengan satu helikopter diselamatkan lewat Selasa dan satu lagi awal pagi Rabu.
Perlanggaran itu berlaku pada 20 April tahun lepas ketika latihan pengesanan kapal selam di perairan timur Pulau Torishima dalam gugusan Kepulauan Izu, kira-kira 600 kilometer ke selatan Tokyo.
Pada Julai 2024, MSDF mengeluarkan laporan siasatan yang mencadangkan kemungkinan nahas berpunca daripada kesilapan dalam pengiraan jarak antara kedua-dua helikopter.
MSDF telah menandatangani kontrak bernilai US$10 juta dengan Tentera Laut Amerika Syarikat bagi operasi mengeluarkan bangkai pesawat terbabit. -TVS