KUCHING, 12 Mac: Perlawanan tertunda Liga Super antara Kuching City FC dan Kedah Darul Aman FC pada malam ini diadakan dengan kemasukan penonton secara percuma.
Menurut kenyataan tuan rumah, perlawanan akan bersambung pada minit ke-17 dan dijadualkan bermula semula pada jam 9.15 malam di Stadium Negeri, Kuching.
Keputusan untuk memberikan kemasukan percuma dibuat setelah mengambil kira perubahan tarikh perlawanan serta pembelian tiket yang telah dilakukan oleh penyokong kedua-dua pasukan sebelum ini.
Sebagai tanda penghargaan kepada peminat, Kuching City FC menyeru agar penyokong hadir beramai-ramai ke stadium bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan dalam pertembungan penting menentang Kedah Darul Aman FC.
Pada perlawanan itu nanti, Kuching City FC perlu meraih tiga mata penuh bagi memintas Terengganu FC dan mendaki ke tangga keempat Liga Super Malaysia.
Penyokong diharap dapat mencipta suasana yang menghangatkan stadium dan menjadi pemain ke-12 dalam usaha pasukan mengekalkan momentum kemenangan. -TVS