KUCHING, 12 Mac: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah optimis Program Low Income Family Empowerment (LIFE) membantu prospek berdikari bagi memulakan kehidupan baharu setelah keluar penjara.
Menurutnya program inisiatif Majlis Pembangunan Sosial (MPS), Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti dengan kerjasama Pejabat Pengarah Penjara Sarawak itu akan memperkasa prospek substans dalam membina kehidupan yang lebih stabil.
“LIFE merupakan sebuah program yang bersepadu dan inklusif bagi menangani isu kemiskinan dalam memberi bantuan kepada keluarga berpendapatan rendah serta golongan yang terjebak isu sosial yang diberi fokus oleh Majlis Pembangunan Sosial (MPS) melalui bantuan modal bagi meningkatkan pendapatan,” katanya.
Fatimah berkata demikian selepas mengadakan sesi ziarah Sumbangsih Raya 2025 di sini, hari ini.
Beliau menambah bantuan yang diberikan bukanlah dalam bentuk wang tunai tetapi dari segi peralatan yang diperlukan mengikut jenis perniagaan yang dijalankan.
Setakat Mac 2025, kata Fatimah seramai 185 peserta telah menerima bantuan dengan kelulusan peruntukan sebanyak RM863,174.39.
Tambahnya bagi kelulusan yang melibatkan bekas prospek katanya, daripada Jabatan Penjara Malaysia Negeri Sarawak, sebanyak 32 peserta dengan kelulusan peruntukan sebanyak RM159,179.90.
Kelulusan prospek kata Fatimah, melibatkan lima institusi penjara di Sarawak iaitu Penjara Puncak Bornei, Penjara Pusat Sri Aman, Penjara Pusat Sibu, Penjara Pusat Miri dan Penjara Pusat Limbang.
Dalam pada itu, Fatimah turut menzahirkan ucapan terima kasihnya terhadap kerajaan negeri kerana memperluas Sumbangsih Raya mengikut perayaan utama di Negeri Sarawak sebagai salah satu cara kerajaan untuk mengenang kembali jasa yang telah diberikan oleh petugas barisan hadapan.
Terdahulu, Fatimah telah mengagihkan sebanyak 450 kontena sumbangan kepada Jabatan Penjara Malaysia Negeri Sarawak sebagai tanda penghargaan terhadap segala usaha yang diberikan oleh anggota Jabatan Penjara dalam melaksanakan tugas mereka terutama sepanjang musim perayaan. – TVS