KUCHING, 12 Mac: Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarawak akan melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Hari Raya 2025 di Mukah pada 17 Mac ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata program itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap amalan pemanduan secara selamat.
“Sebagai sebahagian daripada kempen ini, kami juga akan mengedarkan sampul duit raya untuk mengukuhkan mesej keselamatan jalan raya,” katanya pada sidang media Kempen Keselamatan Jalan Raya Hari Raya 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata musim perayaan bakal menyaksikan pertambahan bilangan kenderaan di jalan raya.
“Dengan lebih banyak kenderaan di jalan raya, risiko kemalangan meningkat, justeru kesedaran keselamatan jalan raya sangat penting.
“Mesej utama termasuk sudah tentu kami mahu semua orang tiba di rumah dengan selamat, dan gembira serta dapat meraikan bersama semua ahli keluarga mereka dan orang tersayang,” katanya.