Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Langkah ini diambil bagi membantu perniagaan kecil yang berhadapan dengan cabaran seperti liputan internet yang terhad dan gangguan bekalan elektrik di kedua-dua negeri itu. Foto fail Bernama

Dewan Negara: PMKS Sabah, Sarawak dibenarkan keluarkan e-Invois yang disatukan

ByMuqri Aziz

KUALA LUMPUR, 12 Mac: Kerajaan membenarkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sabah dan Sarawak untuk mengeluarkan e-Invois yang disatukan, iaitu penggabungan semua transaksi jualan bulanan dalam satu invois sebelum dikemukakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, langkah ini diambil bagi membantu perniagaan kecil yang berhadapan dengan cabaran seperti liputan internet yang terhad dan gangguan bekalan elektrik di kedua-dua negeri itu.

“PMKS dibenarkan untuk mengeluarkan e-Invois yang disatukan, iaitu e-Invois yang menggabungkan semua transaksi jualan PMKS setiap bulan dan hanya perlu dikemukakan kepada pihak LHDNM dalam tempoh tujuh hari pertama bulan berikutnya melalui Portal MyInvois atau aplikasi MyInvois bagi proses penghantaran e-Invois kepada LHDN.

“LHDN turut menyediakan kaunter perkhidmatan e-Invois di semua pejabat LHDN di seluruh negara yang dilengkapi dengan kemudahan komputer dan talian internet yang bertujuan untuk memudahkan PMKS mengeluarkan e-Invois sekiranya mereka menghadapi masalah seperti kekangan bekalan elektrik atau sambungan internet yang kurang baik di kawasan mereka,” katanya ketika menjawab soalan daripada Senator Puan Anna Bell @ Suzieana Perian semasa Sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Anna Bell ingin tahu sejauh manakah persediaan kementerian untuk melaksanakan sepenuhnya e-Invois di Sabah dan Sarawak yang mempunyai kekangan penembusan internet dan adakalanya menghadapi masalah bekalan elektrik.

Selain itu, Hui Ying berkata kerajaan juga menggerakkan Pusat Komuniti Desa (PKD) di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak, sebagai pusat latihan bagi meningkatkan kesedaran digital dalam kalangan masyarakat luar bandar.

“Kemudahan yang disediakan di PKD seperti ruang latihan komputer dan perkhidmatan talian internet boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh PMKS untuk meningkatkan kemahiran digital dan sekali gus dapat melaksanakan e-Invois pada bila-bila masa.

“LHDN giat menjalankan program dan sesi libat urus yang berterusan bagi tujuan kesedaran dan pendidikan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak,” jelas Lim.

Dalam masa yang sama, kerajaan memberi pengecualian e-Invois kepada peniaga kecil dengan nilai jualan tahunan di bawah RM150,000, yang akan memberi manfaat kepada lebih 700,000 peniaga termasuk penjaja dan pemilik gerai tepi jalan.

Lim turut mengingatkan bahawa walaupun terdapat kelonggaran, kerajaan menggalakkan PMKS untuk bersedia dengan pelaksanaan penuh e-Invois kerana sistem ini dapat membantu mereka mengurus perekodan jualan dengan lebih sistematik.

Pelaksanaan e-Invois secara menyeluruh akan bermula pada 1 Julai 2025, manakala bagi PMKS dengan nilai jualan antara RM150,000 hingga RM500,000 setahun, tempoh pelaksanaannya ditangguhkan ke 1 Januari 2026 bagi membolehkan perniagaan membuat persiapan secukupnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan