SINGAPURA, 12 Mac: Atlet muda Dancesport Sarawak sekali lagi membuktikan kehebatan mereka di pentas antarabangsa dengan meraih 16 pingat pada Kejohanan Dancesport JCDA 2025 yang pertama di Singapura pada 8 Mac.
Dalam kejohanan tersebut yang berlangsung di Dewan Guild National University of Singapore Society (NUSS), kontinjen Sarawak berjaya membawa pulang enam pingat emas, satu perak dan sembilan gangsa.
Jovanna Goh, 8, tampil dengan persembahan luar biasa, mengharumkan nama Sarawak dengan memenangi enam pingat emas, satu perak dan tiga gangsa.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Ariella Tang turut mencatat kejayaan dengan meraih enam pingat gangsa serta melayakkan diri sebagai finalis dalam beberapa kategori yang ada dipertandingkan.
Pencapaian membanggakan ini menandakan kejayaan besar bagi Sarawak dalam arena Dancesport antarabangsa, sekali gus memperlihatkan komitmen negeri ini untuk melahirkan atlet muda yang mampu bersaing di peringkat dunia.
Kejayaan ini juga membuktikan potensi Sarawak sebagai pusat kecemerlangan Dancesport di Malaysia dan di peringkat global. -TVS