Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tindakan seorang lelaki warga emas yang bergurau kononnya bagasi rakannya mengandungi bom membawa padah apabila dia ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas, semalam. Foto hiasan Envato

Bergurau ada bom dalam beg rakan, warga emas ditahan di LTAPP

ByBernama

BALIK PULAU, 12 Mac: Tindakan seorang lelaki warga emas yang bergurau kononnya bagasi rakannya mengandungi bom membawa padah apabila dia ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, lelaki tempatan berusia 64 tahun secara berseloroh mendakwa bagasi milik rakannya yang berusia 60 tahun mengandungi bom ketika pemeriksaan barang di kaunter daftar masuk LTAPP.

“Semasa kejadian, kedua-dua warga emas itu dijadualkan menaiki penerbangan ke China,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mengesahkan tiada bahan berbahaya dijumpai dalam bagasi mereka, namun kedua-duanya direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sementara itu, Sazalee berkata polis menahan dua lelaki dan dua wanita dalam serbuan berasingan semalam kerana disyaki menjadi keldai akaun kepada beberapa sindiket penipuan melalui panggilan telefon, yang menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM147,600.

Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang wanita berusia 60 tahun.

“Dalam kes itu, ahli sindiket berkenaan dipercayai menyamar sebagai pegawai Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Mangsa ditakutkan dengan dakwaan kononnya terlibat dalam penggubahan wang haram dan diarahkan memindahkan RM124,800 ke beberapa akaun bank, termasuk akaun milik suspek yang ditahan,” katanya.

Siasatan awal mendapati wanita tersebut telah menyerahkan maklumat perbankannya kepada individu lain sebagai sewaan akaun.

Tiga lagi keldai akaun yang ditahan ialah seorang wanita berusia 34 tahun serta dua lelaki masing-masing berumur 36 dan 44 tahun.

Sazalee berkata sindiket penipuan itu menggunakan modus operandi yang sama, iaitu menyamar sebagai pihak berkuasa atau menawarkan pinjaman tidak wujud sebelum memperdaya mangsa. Dalam tiga kes membabitkan suspek yang ditahan, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM22,800.

“Kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan