KUALA LUMPUR, 12 Mac: Anak-anak syarikat milikan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah mencatatkan keuntungan sebanyak RM259.97 juta pada tahun lepas, mencerminkan prestasi kewangan yang kukuh bagi syarikat-syarikat di bawah agensi kementerian tersebut.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata berdasarkan akaun pengurusan tahun 2024, syarikat-syarikat milikan agensi di bawah KKDW seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), FELCRA Berhad, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah menunjukkan pertumbuhan positif dalam prestasi kewangan dan operasi.
Bagaimanapun, terdapat beberapa buah syarikat yang mencatatkan kerugian sebanyak RM47.81 juta.
“Bagi memastikan syarikat-syarikat milikan agensi KKDW kekal dengan pertumbuhan prestasi kewangan yang positif, KKDW komited dalam memperkemaskan tadbir urus korporat dan kemampanan syarikat milikan agensi melalui penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan pemantauan berterusan.
“Antara KPI yang perlu dipatuhi mereka adalah wujudkan Pelan Antirasuah Organisasi, wujudkan Unit Pengurusan Risiko, mendokumen dan mengharmonikan Limit of Authority (LoA) serta menggalakkan ‘cross-selling’ dalam kalangan syarikat milikan agensi,” menurut Rubiah ketika menjawab persoalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pada Sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Nik Mohamad Abduh ingin tahu prestasi keuntungan dan kerugian syarikat milik agensi di bawah KKDW bagi tahun kewangan 2024 serta strategi Kementerian mengenai prospek keuntungan atau kerugian bagi syarikatsyarikat milikan agensi pada tahun kewangan akan datang.
Sementara itu, Rubiah berkata kerajaan memberi perhatian serius dalam memastikan tadbir urus syarikat milikan agensi mematuhi prinsip tata kelola yang betul, telus, serta mengamalkan tadbir urus korporat terbaik.
Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan syarikat di bawah KKDW adalah sebanyak 122 syarikat, termasuk subsidiari dan anak syarikat.
Daripada jumlah itu, 19 telah ditutup, 20 berada dalam status dorman, manakala 100 syarikat kekal aktif.
“Untuk memastikan syarikat-syarikat ini berfungsi dengan baik dan terus mencatat keuntungan, pemantauan dilakukan secara berkala melalui sesi pemukiman dua kali setahun, iaitu pada awal dan pertengahan tahun.
“Sesi ini menilai prestasi setiap anak syarikat serta mengenal pasti langkah-langkah penambahbaikan yang boleh diambil,” jelasnya.
Rubiah turut menegaskan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ditubuhkan oleh agensi KKDW memainkan peranan penting dalam penjanaan ekonomi serta penyediaan peluang pekerjaan, khususnya bagi masyarakat luar bandar.
Sebahagian besar pendapatan dan keuntungan syarikat tersebut disalurkan semula dalam bentuk dividen untuk membiayai operasi agensi-agensi di bawah KKDW.
Menurut beliau, buat masa ini, kerajaan tidak menggalakkan penubuhan syarikat-syarikat baharu, sebaliknya mengekalkan struktur sedia ada dengan memberi tumpuan kepada pengoptimuman fungsi dan peranan subsidiari serta anak syarikat yang telah wujud. – TVS