KUCHING, 11 Mac: Tambang BAS.MY Kuching diturunkan sehingga 43.65 peratus selaras dengan bandar-bandar lain di Malaysia bermula hari ini.
Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak berkata perkhidmatan tambang BAS.MY Kuching sejak dilancarkan pada 5 Mac adalah berdasarkan jadual tambang Sarawak.
“Memandangkan perkhidmatan BAS.MY merupakan sebuah program oleh Kerajaan Persekutuan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke bersetuju menurunkan tambang supaya selaras dengan perkhidmatan di bandar-bandar lain di Malaysia,” kata LPKP Sarawak dalam kenyataan pada Isnin.
Kuching merupakan bandar terkini mempunyai bas ikonik merah jambu yang mula beroperasi di Seremban, Melaka, Ipoh, Kangar dan Kuala Terengganu di bawah program Kerajaan Persekutuan iaitu Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST).
“Untuk makluman, sejak 2009, pengendali bas berhenti-henti berhawa dingin di Sarawak dibenarkan untuk mengenakan tambang sehingga RM1.04 untuk tiga kilometer pertama dilkuti 18 sen bagi setiap kilometer yang berikutnya,” kata kenyataan itu lagi.
Di Semenanjung Malaysia, pengendali bas berhenti-henti berhawa dingin hanya dibenarkan untuk mengenakan tambang 94 sen untuk dya kilometer pertama diikuti oleh 9.4 sen bagi setiap kilometer yang berikutnya untuk kawasan di luar Kuala Lumpur.
Siling tambang yang lebih fleksibel di Sarawak bertujuan membantu pengendali bas tempatan untuk memastikan perkhidmatan yang mampan dengan mengambil kira cabaran operasi tempatan.
Penumpang yang kerap menggunakan perkhidmatan BAS.MY Kuching boleh mendapatkan Pas 30 Hari BAS.MY berharga RM50 yang membolehkan penggunaan perkhidmatan BAS.MY Kuching secara tanpa had untuk 30 hari.
Golongan OKU, warga emas berumur 60 ke atas, pelajar sekolah dan mahasiswa (universiti, Politeknik, Kolej Komuniti dan matrikulasi) juga boleh menikmati tambang percuma dengan memohon Kad Konsesi BAS.MY.