Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Setelah sekian lama menanti, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akhirnya boleh menarik nafas lega apabila dapat membuka sebuah akademi sendiri di Stadium Jalan Raja Muda, Kampung Baru, di sini. Foto fail Bernama

Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia dijangka beroperasi Jun ini – Mohd Sumali

ByBernama

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Setelah sekian lama menanti, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akhirnya boleh menarik nafas lega apabila dapat membuka sebuah akademi sendiri di Stadium Jalan Raja Muda, Kampung Baru, di sini.

Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia itu diharapkan dapat beroperasi sepenuhnya Jun ini berikutan beberapa pengubahsuaian di kemudahan itu perlu dilakukan terlebih dahulu.

“Stadium berkenaan masih memerlukan banyak kerja naik taraf termasuk pemasangan pendingin hawa. Mungkin mengambil masa dua hingga tiga bulan sebelum boleh buka akademi di situ.

“Kami pernah gunakan stadium berkenaan untuk program kecil. Kita akan cuba tambah baik lagi supaya ia benar-benar menjadi sebuah akademi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Sumali berkata beliau menerima berita gembira berkenaan hasil pertemuan bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin dan wakil PSM semalam.

Sebelum ini, Mohd Sumali berkata pihaknya merancang untuk memiliki stadium sendiri dengan mengenal pasti beberapa lokasi di Lembah Klang.

Beliau bagaimanapun pada Oktober lepas dilaporkan sedia mempertimbangkan untuk mewujudkan akademi sukan berkenaan berbanding memiliki stadium sendiri.

Mohd Sumali berkata mereka diberikan kontrak sewa sembilan tahun hingga 2034 untuk mengambil alih pengoperasian stadium berkenaan yang dimiliki Institut Sukan Negara (ISN).

Sehubungan itu, beliau amat menghargai komitmen Hannah, MSN dan ISN dalam merealisasikan hasrat PSM menubuhkan akademi sendiri.

Dalam pada itu, Mohd Sumali memaklumkan Program Pembangunan Sepak Takraw Kebangsaan (NSTDP) bakal dilaksanakan bulan depan.

Beliau berkata pelaksanaan NSTDP merupakan sejarah baharu dan penting buat sukan warisan berkenaan khususnya dalam menggilap bakat di peringkat akar umbi.

“Ketika ini setiap negeri sedang berusaha melakukan bengkel bagi memberikan penjelasan lanjut mengenai program ini sebelum NSTDP dijangka bermula sepenuhnya pada April ini,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan