KUALA LUMPUR, 11 Mac: Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir meluangkan masa berbuka puasa bersama dengan lebih 500 pengamal media di Bangunan Angkasapuri hari ini.
Anwar yang berpakaian baju Melayu bewarna biru muda tiba di majlis sekitar jam
6:45 petang.
Setibanya beliau di majlis itu, Anwar terlebih dahulu menyempurnakan Majlis Peluncuran Buku Amanat Integriti dan Tatakelola: Malaysia MADANI.
Usai itu, Anwar menyampaikan sumbangan kepada veteran-veteran media yang terdiri daripada 10 pengamal media yang pernah berkhidmat di beberapa agensi di seluruh negara.
Sumbangan itu disampaikan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA yang diperkenalkan pada April 2023.
Antara penerima sumbangan itu ialah Pengarah Hiburan Berita Harian, Akmal Abdullah dan bekas Penyunting berita BERNAMA, Fazrul Ahmad.
Selepas selesai berbuka puasa, Anwar menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjemaah di Masjid Muhammadi Angkasapuri sebelum bergerak meninggalkan majlis.
Yang turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman. – TVS