Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bubuk yang dijual di Tamu Batu Satu, Miri. Foto TVS

Musim bubuk kembali landa Miri

ByTasha Jenkins Likan Anak Siti

MIRI, 11 Mac: Fenomena musim bubuk yang dinantikan ramai kembali melanda pesisir Miri, menarik perhatian penduduk setempat dan nelayan yang mencari rezeki dengan menangkap hasil laut ini.

Musim bubuk lazimnya berlaku pada awal tahun, bergantung kepada faktor cuaca dan arus laut. Bagaimanapun, tahun ini, kehadiran bubuk dilaporkan lebih lewat daripada kebiasaan.

Di kawasan Batu Satu, tradisi pesta bubuk yang biasanya meriah tidak dapat dianjurkan seperti tahun-tahun sebelumnya kerana musimnya jatuh ketika bulan Ramadan.

Menurut seorang nelayan, Asmah Sisa, musim bubuk kali ini agak luar biasa kerana kebiasaannya ia muncul lebih awal.

“Memang selalunya bulan dua sudah ada. Tapi sekarang lanjut lagi bulan tiga. Sudah bulan Mac, baru ada. Selalu sebelum puasa. Sekarang bulan puasa. Jadi, kami tidak dapat membuat pesta bubuk,” katanya ketika ditemui TVS di Tamu Batu Satu, di Miri.

Asmah Sisa, Nelayan dari Batu Satu, Miri. Foto TVS

Walaupun musim bubuk kali ini berbeza dari segi waktu kemunculannya, nelayan tetap tidak melepaskan peluang menangkap bubuk yang muncul dalam jumlah besar.

Nur Nilam Sari Mohamad, seorang nelayan muda berkata, walaupun hasilnya berkurangan, tempahan bubuk tetap tinggi.

“Kami menerima bekalan sebanyak 350 kilogram pada waktu pagi. Penjual lain menjual di atas meja, manakala sebahagian lagi telah ditempah lebih awal. Kami tidak menggunakan ais, sebaik sahaja stok tiba, ia terus dijual. Setelah habis terjual, bekalan baharu akan dihantar semula,” katanya.

Nur Nilam Sari Mohamad, Nelayan dari Batu Satu, Miri. Foto TVS

Di Batu Satu, bubuk dijual pada harga RM6 sekilogram, manakala bagi pembelian 10 kilogram, harganya dikurangkan kepada RM5 sekilogram.

Di kawasan Bakam pula, penangkapan bubuk masih dilakukan secara tradisional dengan mematuhi pantang larang yang diwarisi turun-temurun.

Nelayan, Yusuf Sidi berkata, salah satu pantang larang yang masih diamalkan adalah larangan menggunakan kain semasa menangkap bubuk.

“Menurut cerita orang dahulu, golongan tua berpendapat bahawa kain tidak boleh digunakan untuk membalut patah kerana dikatakan tidak sesuai. Apa jua jenis kain, semuanya tidak boleh digunakan,” katanya.

Yusuf Sidi, Nelayan dari Bakam, Miri. Foto TVS

Selain itu, nelayan juga dilarang mengambil lebih daripada tiga “sipang” bubuk kerana dipercayai ada unsur makhluk halus yang menjaga bubuk tersebut.

Jika pantang larang ini dilanggar, mereka percaya nelayan boleh menghadapi kesusahan seperti ditimpa kemalangan di laut.

Nelayan, Marani Lidi, turut berkongsi kisah bagaimana pada zaman dahulu, jumlah bubuk yang banyak menyebabkan laut kelihatan merah, dan masyarakat percaya bahawa terdapat penunggu yang menjaga hasil laut tersebut.

“Orang tua dahulu pernah berkata bahawa hal ini disebabkan oleh kepercayaan terhadap penunggu. Sebagai contoh, pada zaman dahulu, jika seseorang melanggar kepalanya, mereka mungkin akan menjadi lemah. Menurut cerita mereka, ramai orang tua dahulu memang mengalami kelemahan akibat kejadian seperti itu,” katanya.

Ketua Kampung Bakam, Marani Lidi. Foto TVS

Walaupun zaman berubah dan kemodenan semakin mempengaruhi cara hidup nelayan, kepercayaan ini masih diamalkan oleh segelintir mereka sebagai tanda menghormati adat dan warisan.

Bubuk yang ditangkap bukan sahaja dijual secara mentah, malah diolah menjadi belacan, produk makanan tradisional yang sangat diminati.

Proses penghasilan belacan memerlukan ketelitian, termasuk menjemur, menumbuk, dan membentuk bubuk menjadi blok belacan sebelum dikeringkan.

Seorang pembuat belacan di Sibuti, Mohamad Farizul Juahi, menjelaskan prosesnya yang memerlukan tempoh berhari-hari.

“Saya akan mencari terlebih dahulu dan biasanya menunggu maklumat terlebih dahulu. Setelah mendapat maklumat, kami akan mengambilnya dan membawanya pulang.

“Setibanya di rumah, proses akan dimulakan dengan penggaraman untuk mengurangkan bau dan mengelakkan kerosakan. Seterusnya, ia akan dijemur dan ditoskan agar kering. Proses penjemuran dilakukan setiap hari, bermula dari pagi hingga sekitar jam 4 petang,” katanya.

Pembuat belacan dari Sibuti, Mohamad Farizul Juahi. Foto TVS

Belacan yang telah siap dijual pada harga sekitar RM45 hingga RM50 sekilogram, bergantung kepada kualiti dan permintaan pasaran.

Walaupun musim bubuk berlaku setiap tahun, kehadirannya tetap dinantikan oleh masyarakat setempat, sama ada sebagai sumber rezeki atau kelangsungan tradisi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan