KUCHING, 11 Mac: Sarawak mencapai satu lagi kejayaan apabila pemain teknologi terkemuka, Mitsubishi Power bakal bekerjasama untuk membekalkan gas hidrogen ke Loji Janakuasa Kitaran Gabungan (CCGT ) Miri menjelang penghujung Disember 2027.
Menurut Pengurus Besar Kanan, Bahagian Perniagaan GTCC, Sistem Tenaga Mitsubishi Heavy Industri, Ltd (MHI), Takuya Murase, loji janakuasa tersebut bukan sekadar satu projek tenaga biasa tetapi juga merupakan permulaan kepada kerjasama erat antara Sarawak dan MHI dalam teknologi hijau.
“Sebenarnya, kami sudah mendapat arahan untuk membekalkan Loji Janakuasa Kitaran Gabungan (CCGT) di Miri dengan menggunakan hidrogen sebagai bahan bakar.
“Saya juga akan melawat ke Miri untuk membincangkan mengenai projek ini dengan lebih lanjut dan akan menjelaskan mengenai perkara yang telah dibincangkan kelak kepada Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai sesi kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Tambah Takuya, proses pengeluaran turbin gas bagi loji tersebut (CCGT Miri) akan bermula pada 2026 dengan penghantaran ke Sarawak dijangka sekitar pertengahan tahun sama sebelum loji itu memulakan operasi komersial pada penghujung 2027.
Dalam pada itu, Takuya yang pertama kali berkunjung ke Sarawak turut menyatakan rasa kagumnya terhadap pembangunan di wilayah ini yang semakin berkembang pesat.
Hadir sama dalam kunjungan tersebut, Naib Presiden Mitsubishi Power Asia Pasifik, Kazuki Ishikura, Pengurus Besar Mitsubishi Heavy Industries Kuala Lumpur (MHI-KL), Daisuke Wakasugi, Pengurus Besar Kanan Mitsubishi Power Asia Pasifik, Ong Hui Leong serta Ketua Cawangan Mitsubishi Power Asia Pasifik, Masato Sakamoto. – TVS