WANGSA MAJU, 11 Mac: Kerajaan sedang memuktamadkan kontrak bersama pasukan atau syarikat yang terlibat dalam operasi pencarian ketiga pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan kekal dengan pendirian untuk melakukan pencarian terhadap kapal penerbangan yang hilang dalam perjalanan ke Beijing hampir 11 tahun lepas.
“Perkembangan kita akan maklumkan selepas kontrak ditandatangani. Bukan tidak jadi, ia berjalan cuma kita sedang muktamadkan kontrak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di PUSPAKOM cawangan Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Sebelum ini MOT memaklumkan, kerajaan bersetuju menerima cadangan syarikat dari United Kingdom (UK), Ocean Infinity bagi memulakan semula operasi pencarian di kawasan baharu seluas kira-kira 15,000 kilometer (km) persegi di selatan Lautan Hindi.
Menurut MOT, keputusan itu selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 13 Disember tahun lalu.
MOT menjelaskan, operasi tersebut akan dilaksanakan berdasarkan prinsip “no find, no fee,” yang bermaksud tiada sebarang pembayaran akan dibuat melainkan bangkai pesawat ditemukan. – TVS.