KUCHING, 11 Mac: Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menyeru agar perpaduan yang terjalin terus berkekalan, sambil mengajak masyarakat untuk memperkukuh hubungan serta mengutamakan kesejahteraan komuniti melebihi bulan Ramadan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) itu berkata, Ramadan berfungsi sebagai bulan latihan untuk menjadi insan yang lebih baik, suci dan makmur.
“Indahnya dapat kembali ke kampung halaman dalam bulan Ramadan. Tambahan pula, ini bulan untuk kita bersedekah, berbuat kebajikan dan memperbanyakkan ibadah. Mari kita teruskan amalan ini ke bulan-bulan seterusnya.
“Jika tidak, kita akan berhenti mengambil peduli. Sebenarnya, Ramadan melatih kita untuk menjadi lebih baik, lebih suci, dan lebih makmur. Jadi, marilah kita kekalkan amalan ini,” katanya semasa majlis pengagihan bakul makanan serta program pengedaran bubur lambuk di Dewan Masyarakat Kampung Tunku, di sini, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Sarawak dan Biro Kebajikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N7 Semariang atas penganjuran program yang menyumbangkan 150 bakul makanan kepada penerima yang memerlukan.
Selain itu, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak dan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) turut menyediakan 400 hidangan bubur lambuk serta mengagihkan kurma kepada masyarakat setempat.
“Hari ini kita bersama-sama menjayakan usaha kolaboratif bagi kebajikan dan kesejahteraan komuniti di sekitar N7 Semariang sepanjang bulan Ramadan.
“Kami juga mengedarkan bubur lambuk serta kurma kepada penduduk sekitar. Ini adalah program yang benar-benar selari dengan semangat serta keindahan nilai bulan Ramadan,” katanya. – TVS