Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali ketika ditemui media selepas menghadiri program pengagihan bakul makanan dan bubur lambuk di Dewan Masyarakat Kampung Tunku, Semariang hari ini. Foto TVS

Kerajaan Sarawak alu-alukan sokongan, namun keikhlasan jadi keutamaan – Hasidah

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 11 Mac: Kerajaan Sarawak menghargai sebarang sokongan dalam memperjuangkan hak negeri, khususnya berkaitan minyak dan gas, namun menegaskan sokongan itu haruslah bersifat tulus tanpa agenda politik.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, perjuangan menuntut hak minyak dan gas bukan isu baharu, sebaliknya telah lama diperjuangkan oleh Kerajaan Sarawak, khususnya di bawah kepimpinan Premier Sarawak.

“Yang penting mereka (DAP) sokong apa yang diusahakan oleh Premier kita…jangan sokong hanya ketika hendak pilihan raya atau ada agenda lain,” katanya selepas menghadiri program pengagihan bakul makanan dan bubur lambuk anjuran PEMADAM Negeri Sarawak, SABERKAS Negeri Sarawak serta Biro Kebajikan N7 Semariang hari ini.

Beliau berkata demikian bagi respons kepada kenyataan Pemuda Sosialis DAP Sarawak (DAPSY) bahawa parti itu bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam menuntut hak minyak dan gas daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurut Hasidah, setiap pihak harus menyokong usaha yang membawa manfaat kepada Sarawak secara menyeluruh tanpa mengira latar belakang politik.

“Kalau kita sokong perjuangan Sarawak, sokonglah secara penuh. Tidak kira parti mana, jika ia untuk kebaikan Sarawak, maka kita perlu bersatu. Tetapi jangan hanya menyokong bila ada agenda tersendiri,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyatakan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih menjadi keutamaan dalam rundingan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Memang kita akan terus membincangkan perkara-perkara yang masih belum selesai sepenuhnya. Banyak lagi yang perlu dihalusi, jadi ia adalah proses yang berterusan,” katanya.

Antara perkara utama dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal bulan ini ialah formula pengiraan Geran Khas di bawah Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Kami telah membentangkan formula dari Sarawak mengenai bagaimana geran khas ini boleh dikira. Keputusan mengenai perkara ini amat diperlukan,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa autonomi Sarawak dalam bidang pendidikan dan kesihatan turut menjadi tumpuan utama perbincangan yang sedang berjalan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan