MOSCOW, 11 Mac: Kapal tangki Stena Immaculate, yang terlibat dalam perlanggaran dengan kapal kontena lain di perairan United Kingdom dilaporkan membawa lebih 200,000 tong bahan api jet ketika insiden berlaku, lapor Sputnik.
“Kami masih belum dapat menentukan jumlah bahan api yang mungkin bocor akibat kejadian ini. Semasa pelanggaran berlaku, Stena Immaculate sepanjang 183 meter (596 kaki) membawa 220,000 tong bahan api jet dalam 16 tangki kargo berasingan,” menurut kenyataan pengendali kapal itu, Crowley.
Sekurang-kurangnya satu tangki yang mengandungi bahan api Jet-A1 dilaporkan mengalami kerosakan.
Dalam pada itu, pengawal pantai UK menghentikan pencarian seorang anak kapal yang hilang selepas insiden itu, dengan kedua-dua kapal masih terbakar, menurut Komander Bahagian Pengawal Pantai, Matthew Atkinson.
Seramai 36 kru lain telah dibawa ke darat, dengan seorang daripada mereka dikejarkan ke hospital.
Insiden berlaku pada Isnin apabila kapal tangki Stena Immaculate bertembung dengan kapal kontena Solong di perairan timur UK.
Kebakaran tercetus di kedua-dua kapal, mendorong pihak berkuasa melancarkan operasi menyelamat.
Ahli Parlimen British, Graham Stuart berkata semua kru berjaya diselamatkan, namun pemilik kapal, Ernst Russ kemudian melaporkan bahawa seorang kru masih hilang.
Syarikat perkapalan Crowley mengesahkan perlanggaran itu merosakkan tangki penyimpanan dan menyebabkan tumpahan bahan api Jet-A1.
Sementara itu, Reuters melaporkan kapal tangki berkenaan turut membawa 15 kontena natrium sianida. – TVS