Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jepun pada Selasa memperingati ulang tahun ke-14 sejak gempa bumi dan tsunami dahsyat melanda timur laut negara itu, mencetuskan krisis nuklear, dengan penduduk antara kawasan yang paling teruk terjejas sekali lagi berdepan kesan bencana alam. Foto AFP

Jepun peringati ulang tahun ke-14 gempa bumi, tsunami dan bencana nuklear

ByBernama

SENDAI, 11 Mac: Jepun pada Selasa memperingati ulang tahun ke-14 sejak gempa bumi dan tsunami dahsyat melanda timur laut negara itu, mencetuskan krisis nuklear, dengan penduduk antara kawasan yang paling teruk terjejas sekali lagi berdepan kesan bencana alam.

Upacara peringatan itu berlangsung dalam keadaan yang mencabar bagi penduduk Ofunato di Wilayah Iwate, yang baru sahaja dipindahkan akibat kebakaran hutan besar pada akhir Februari.

Bagaimanapun, kebakaran berjaya dikawal dengan semua arahan pemindahan ditarik balik pada Isnin.

Ketika tiga bencana itu melanda 14 tahun lepas, ramai penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka. Sejak itu, negara yang kerap dilanda bencana ini mengambil langkah bagi memperkukuh kesiapsiagaan, termasuk dalam aspek pengurusan pemindahan dan usaha membangunkan semula kawasan terjejas.

Kyodo News melaporkan rakyat Jepun di seluruh negara mengadakan upacara bertafakur dan berdoa untuk mangsa pada 2.46 petang waktu tempatan, iaitu ketika gempa bumi bermagnitud 9.0 melanda pantai Pasifik, menyebabkan lebih 22,000 kematian.

Dalam majlis peringatan anjuran Wilayah Fukushima, di mana kompleks tenaga nuklear Fukushima Daiichi yang rosak terletak, Perdana Menteri Shigeru Ishiba menyampaikan ucapan takziah dan berjanji untuk menjadikan Jepun peneraju dunia dalam pencegahan bencana.

“Kami akan memanfaatkan pengalaman daripada bencana ini untuk melaksanakan kesiapsiagaan menyeluruh dan memperkukuh sistem tindak balas kami,” kata Ishiba.

Penduduk dari tiga wilayah yang paling teruk terjejas iaitu Iwate, Miyagi dan Fukushima berhimpun sejak awal pagi bagi memperingati mangsa tragedi itu.
Walaupun pemulihan sedang berjalan di tiga wilayah itu, kira-kira 28,000 orang masih kehilangan tempat tinggal di seluruh negara, manakala kawasan di tujuh perbandaran di Fukushima masih diisytiharkan sebagai zon larangan akibat radiasi, menurut Agensi Pemulihan Jepun.

Di Chojahara, sebuah daerah di bandar Okuma, Fukushima, yang masih dihalang untuk dimasuki, sebuah monumen batu yang tertera nama 44 penduduk yang meninggal dunia ketika dalam pemindahan, siap dibina bulan lalu.

Usaha pembersihan di loji Fukushima masih diteruskan di tengah-tengah kontroversi mengenai pelepasan air sisa radioaktif yang dirawat ke laut, dengan tempoh nyahaktif dijangka mengambil masa beberapa dekad.

Berdasarkan pengajaran daripada krisis nuklear terburuk sejak bencana Chernobyl 1986, tinjauan Kyodo News mendapati 72 daripada 116 majlis perbandaran dalam lingkungan 30 kilometer dari reaktor nuklear di seluruh Jepun merasakan keperluan untuk menyemak semula pelan pemindahan mereka bagi menghadapi kemalangan nuklear.

Dalam tinjauan itu, 28 majlis perbandaran menyatakan yang mereka belum mengambil kira kemungkinan jalan terputus dalam pelan pemindahan semasa mereka. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan