Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Projek Trans Borneo Rail dijangka akan menumpukan kepada pengangkutan kargo menerusi kapasiti 70 peratus untuk perkhidmatan berkenaan, Dewan Negara dimaklumkan hari ini. Foto hiasan, Envato.

Dewan Negara: Projek Keretapi Trans-Borneo fokus kargo

ByMuqri Aziz

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Projek Trans Borneo Rail dijangka akan menumpukan kepada pengangkutan kargo menerusi kapasiti 70 peratus untuk perkhidmatan berkenaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, baki 30 peratus pula diperuntukkan untuk segmen penumpang.

“Konsep ini mengambil inspirasi model Projek Rel Pantai Timur (ECRL) bagi menyokong keperluan logistik dan perindustrian di Sabah dan Sarawak.

“Bagi perkhidmatan rel dalam bandar pula, Kerajaan Sarawak telah membangunkan Sistem Aliran Transit Automasi (ART) di Kuching, yang lebih sesuai untuk pergerakan penumpang dalam kawasan bandar,” katanya semasa sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Robert Lau Hui Yew yang ingin tahu sama ada kajian itu akan merangkumi hubungan ke Kalimantan, Indonesia, serta mempertimbangkan sistem pengangkutan pantas seperti Transit Rel Ringan (LRT) di Kuching bagi mengatasi kesesakan jalan raya.

Terdahulu, Robert Lau bertanya sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk membangunkan sistem landasan kereta api di Sarawak dan Sabah, khususnya antara bandar-bandar utama.

Sementara itu Hasbi turut menjelaskan Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak akan terlibat langsung dalam perancangan tersebut dan setakat ini katanya, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan yang dijangka bermula pada pertengahan 2025.

“Kajian dijangka siap pada 2026 yang akan meneliti aspek teknikal, komersial, sosio-ekonomi, serta model pembiayaan projek.

“Hasil kajian ini akan menjadi asas kepada permohonan projek fizikal dan pembangunan sistem kereta api di Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan yakin bahawa kajian ini dapat membantu perancangan rangkaian kereta api secara objektif dan meningkatkan ketersambungan antara bandar utama di Sabah dan Sarawak,” ujar Hasbi.

Mesyuarat penilaian seterusnya bagi projek Keretapi Trans-Borneo dijadualkan berlangsung esok dengan penglibatan semua agensi berkaitan untuk meneliti laluan, keperluan infrastruktur, serta penyelarasan pembangunan logistik di Sabah dan Sarawak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan