Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Malaysia kini dalam usaha untuk menjadi pengeluar utama bahan api penerbangan mampan (SAF), sejajar dengan agenda pembangunan mampan serta transformasi ekonomi hijau global. Foto hiasan, Envato.

Dewan Negara: Malaysia bakal jadi pengeluar utama bahan api penerbangan mampan

ByMuqri Aziz

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Malaysia kini dalam usaha untuk menjadi pengeluar utama bahan api penerbangan mampan (SAF), sejajar dengan agenda pembangunan mampan serta transformasi ekonomi hijau global.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, SAF akan dihasilkan daripada bahan mentah seperti minyak masak terpakai dan sisa minyak hasil sampingan industri sawit.

Langkah berkenaan kata beliau bukan sahaja menyokong inisiatif kelestarian alam tetapi juga berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“SAF berpotensi menarik pelaburan dalam teknologi hijau, mewujudkan peluang pekerjaan, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, serta membuka pasaran eksport baharu bagi bahan api yang lebih lestari,” katanya pada Sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Negara hari ini.

Foong Hin menjawab soalan Senator Dato Dr Ahmad Azam Hamzah yang ingin tahu usaha kementerian dalam mengurangkan kebergantungan negara terhadap komoditi tradisional dengan mempelbagaikan sumber pendapatan negara dan adakah terdapat komoditi baharu yang sedang diterokai untuk meningkatkan sumbangan kepada ekonomi negara.

Sementara itu Foong Hin turut menjelaskan bahawa usaha berkenaan juga merupakan sebahagian daripada Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) yang memberi tumpuan kepada penjanaan nilai dan pembangunan pasaran.

“Dasar ini menggalakkan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) bagi meningkatkan nilai tambah produk agrikomoditi, termasuk dalam sektor tenaga boleh diperbaharui seperti SAF.

Selain itu, kerajaan juga memperkukuh industri hiliran agrikomoditi melalui pelbagai inisiatif, termasuk pengeluaran biodiesel, tenaga biogas, biopelet tenaga, serta produk bio seperti baja organik dan makanan haiwan ternakan,”katanya.

Beliau turut memberitahu ketika ini tiada penerokaan komoditi baharu yang sedang dijalankan oleh kementerian.

“Namun begitu, kementerian sentiasa memberikan tumpuan kepada aspek memperkasakan komoditi sedia ada melalui penambahan nilai dan pengukuhan rantaian bekalan yang berterusan,” katanya lagi.

Menerusi strategi yang holistik dan bersepadu katanya, Malaysia berpotensi menjadi peneraju dalam industri bahan api lestari, sekaligus mengukuhkan kedudukan negara di peringkat antarabangsa sebagai pemain utama dalam ekonomi hijau. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan