KUALA LUMPUR, 11 Mac: Seramai 1,410 guru di seluruh negara telah diiktiraf sebagai Pasukan Pakar Jauhari dalam bidang pendidikan digital.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, guru yang menerima pensijilan pakar itu telah menjalani latihan intensif dan kini berperanan sebagai mentor kepada sekurang-kurangnya 10 orang guru lain dalam komuniti masing-masing.
Kata beliau setakat tahun lepas, seramai 403,618 guru telah menjalani pengesanan tahap kompetensi digital. Hasil penilaian menunjukkan 23.9 peratus berada pada tahap asas, 74.3 peratus tahap pertengahan dan 1.8 peratus mencapai tahap lanjutan.
“Melalui kerjasama strategik dengan syarikat teknologi seperti Microsoft, Google dan Apple, latihan kepakaran digital turut diberikan kepada guru menerusi program seperti Adobe Certified Professional in Digital Video, Adobe Certified Professional in Print & Digital Media Publication, serta penggunaan aplikasi Gemini AI,” katanya pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Negara, di sini hari ini.
Kah Woh menjawab pertanyaan Senator Amir Md Ghazali yang ingin tahu sama ada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merancang untuk mengurangkan kaedah
pembelajaran secara bertulis kepada pelajar dan menggantikannya dengan kaedah pembelajaran digital yang lebih interaktif.
Sementara itu Kah Woh memaklumkan, KPM turut membangunkan Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP) yang menawarkan pensijilan profesional bertaraf antarabangsa melalui penyedia latihan terkemuka seperti Microsoft, Cisco, CompTIA dan AWS.
Tambah beliau , guru memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan pendidikan digital di bawah KPM.
“Latihan berterusan diberikan bagi memastikan guru-guru berkemahiran tinggi dalam mendidik anak-anak, khususnya dalam bidang pendidikan digital,” katanya. – TVS