MIRI, 11 Mac: Sempena bulan Ramadan, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, dengan kerjasama Stesen Minyak Petronas Lutong, akan mengadakan program pengedaran bubur lambuk pada 20 Mac.
Ketua BBP Lutong, Henry Jugah berkata, sebanyak 1,000 bungkus bubur lambuk akan diedarkan di sekitar Pekan Lutong.
“Program ini merupakan hasil kerjasama julung kali antara BBP Lutong dan Stesen Minyak Petronas Lutong, dengan sokongan penuh daripada pengurusnya, Adam Saleh A. Sufian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Henry turut mengambil kesempatan untuk menyerahkan borang penyertaan Larian Amal Bomba 8.0 2025 kepada semua stesen minyak Petronas bagi tujuan promosi kepada masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Stesen Minyak Petronas Lutong turut menyumbangkan 50 ketupat hiasan kepada BBP Lutong sebagai tanda sokongan terhadap program tersebut. – TVS