MIRI, 10 Mac: Tujuh syarikat Malaysia daripada industri makanan dan runcit menyertai Program Penerokaan Pasaran Amerika Syarikat (AS) yang dianjurkan oleh ENESCorp International LLC dengan kerjasama Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) Corporation Malaysia.
Pengarah IANA Corporation Sdn Bhd, Mohammad Hafidz Rohani berkata, program ini bertujuan memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai landskap perniagaan di AS dengan tumpuan kepada strategi kemasukan pasaran, rangkaian pengedaran serta trend pengguna terkini.
“Sepanjang program ini, peserta menghadiri sesi bersama The Greater Lehigh Valley Chamber of Commerce, Pejabat Penasihat Pertanian Malaysia, MATRADE New York dan The Specialty Food Association,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Selain itu, peserta turut berpeluang bertemu dengan pemborong, pengedar makanan, serta pengurus perniagaan runcit di Pennsylvania dan New York untuk memahami dinamik pasaran yang kompetitif.
“Antara sorotan utama program ini adalah sesi ‘Trend Semasa dan Masa Depan Makanan Khas’, di mana pakar daripada Specialty Food Association berkongsi pandangan mengenai perubahan keutamaan pengguna, khususnya dalam segmen makanan sihat dan bebas gluten.
“Melihat kepada permintaan yang semakin meningkat terhadap produk makanan alternatif, beberapa syarikat Malaysia mengambil langkah meneroka peluang memperkenalkan produk makanan bebas gluten dan makanan khas ke pasaran AS,” katanya lagi.
Dalam program ini, IANA Corporation Sdn Bhd turut bekerjasama dengan Craun Research Sdn Bhd, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menerajui industri sagu di Sarawak untuk meneroka potensi Biskut Sagu Bebas Gluten di pasaran AS.
Langkah ini seiring dengan peningkatan permintaan terhadap produk makanan inovatif dan mampan di Amerika Utara. – TVS