PUTRAJAYA, 10 Mac: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) diminta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengemukakan cadangan bagi kaedah penyimpanan air sebagai persediaan menghadapi musim kemarau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata arahan itu disampaikan Anwar semasa pertemuannya bersama pengurusan tertinggi PETRA, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri di PETRA berkata, Perdana Menteri berharap agar cadangan itu dapat dikemukan dalam tempoh dua minggu.
“(Beliau mahu tahu) apa yang boleh kita lakukan sebab negara kita banyak hujan tapi pada masa sama berlaku kemarau.
“Air hujan yang banyak, bagaimana kita nak simpan air supaya boleh digunakan pada waktu kemarau dan untuk masa depan,” katanya.
Fadillah ditemui selepas menghadiri Program Ihya Ramadan PETRA yang disempurnakan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, kajian mengenai kaedah simpanan air juga sudah dilaksanakan dan sedang disusun atur agar kementeriannya dapat menetapkan tindakan pelaksanaan yang sesuai.
“Apapun tindakan yang perlu dilakukan, PETRA memerlukan kerjasama di peringkat kerajaan negeri,” katanya. – TVS