KUCHING, 10 Mac: Stesen Janakuasa Batu Kawa baharu yang dibina dengan kos RM16 juta siap sepenuhnya baru-baru ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada pelaburan berjumlah RM225 juta yang dirancang Sarawak Energy untuk menaik taraf infrastruktur kawasan itu bagi tempoh 2023 hingga 2027.
Menurutnya, penggunaan tenaga elektrik di kawasan itu dijangka meningkat sebanyak 90MW dalam lima tahun akan datang dan Sarawak Energy yang merupakan syarikat milik Kerajaan Sarawak memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi di Batu Kawa.
“Batu Kawa kini menggunakan 54MW elektrik iaitu lapan peratus daripada jumlah penggunaan di Kuching dan yang merupakan separuh daripada pengeluaran elektrik Hidro Batang Ai.
“Dijangkakan dalam tempoh lima tahun akan datang dan permintaan elektrik akan meningkat kepada 90MW,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Faceboook beliau baru-baru ini.
Dalam kenyataan sama, Dr Sim turut memberitahu dua lagi stesen janakuasa Batu Kawa kini sedang dibina.
“Setelah siap, ia akan menambah 46km kabel elektrik ke kawasan Batu Kawa, kira-kira dua pertiga jarak dari Kuching ke Serian,” ujarnya.
Menurutnya, projek pembinaan tersebut merupakan cerminan Kerajaan Sarawak dalam merealisasikan hasratnya untuk menjadikan wilayah ini sebagai hab tenaga boleh diperbaharui selain memastikan keperluan pelanggan tempatan di Batu Kawa dapat dipenuhi. – TVS