KUCHING, 10 Mac: Pendidikan percuma di Sarawak bakal diperluaskan kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terutama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak.
Rektor UiTM Sarawak, Profesor Dr. Firdaus Abdullah berkata, cadangan tersebut telah dikemukakan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika kunjungan hormat dan mendapat maklum balas sangat positif.
“Kita (UiTM Cawangan Sarawak) mencadangkan agar biasiswa atau pendidikan percuma untuk rakyat Sarawak dipanjangkan juga kepada pelajar dari institusi awam terutama UiTM.
“Abang Johari secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan ini. Menurutnya, ini merupakan fasa kedua,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.
Menurutnya, cadangan tersebut merupakan antara sebahagian daripada usaha mengembangkan lagi pembangunan bakat di Sarawak.
Pada masa sama beliau berkata, Premier Sarawak mencadangkan kepada UiTM Cawangan Sarawak agar bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam membantu transformasi sektor pertanian di wilayah ini termasuk di kawasan Mukah.
“Memandangkan UiTM Sarawak mempunyai kampus di Mukah, beliau mencadangkan agar hab dan pusat projek penanaman padi dengan melibatkan UiTM dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutamanya dalam aspek benih padi, produktiviti dan hasil padi.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan antara cadangan yang dikemukakan kepada Premier Sarawak adalah agar ditubuhkan Kursi Tun Openg History and Heritage yang bertujuan untuk pengajian perkembangan Islam dan sejarah kebudayaan di Sarawak – TVS