KUCHING, 10 Mac: Satu mesyuarat khas membincangkan isu petugas perubatan dari Sarawak yang ingin berpindah semula ke negeri asal akan dilaksanakan dalam masa terdekat, bulan ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu akan dibincangkan menerusi mesyuarat teknikal Ahli Jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Dalam mesyuarat itu, kita dapat berbincang dengan melihat pembentangan pihak Sarawak dan perspektif pihak Persekutuan.
“Jadi dari situ kita dapat melihatnya secara keseluruhan, bergantung kepada perspektif pentadbiran sama ada boleh, terdapat jawatan atau sebaliknya, lokasi, dan keperluan kementerian kesihatan secara praktikal.
“Dalam mesyuarat itu nanti, kita juga akan bincangkan tentang autonomi kesihatan Sarawak,” katanya kepada pemberita di Bazar Ramadan Satok, baru-baru ini.
Menurut Fadillah, cadangan untuk semua pakar perubatan berasal dari Sarawak untuk berpindah ke negeri asal tidak begitu relevan.
“Sekiranya semua ingin pulang (ke Sarawak) tidak juga bagus kerana kadang-kadang kita memerlukan simulasi.
“Kalau boleh kita mahu semua negeri ada dalam satu, baru ada semangat Malaysia,” katanya.
Setakat ini katanya, perpindahan dilaksanakan mengikut keperluan jawatan yang berada di Sarawak. Terdahulu, Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian mendedahkan lebih 800 jururawat dari Sarawak yang bertugas di luar negeri berhasrat berkhidmat di kampung halaman.
Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memaklumkan, terdapat kekosongan jawatan di Sarawak pada masa ini. -TVS