MIRI, 10 Mac: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM45 juta bagi melaksanakan projek kawalan hakisan di Pantai Lutong yang kini dalam proses penilaian tender.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menangani masalah hakisan yang semakin membimbangkan di kawasan tersebut terutamanya selepas kejadian banjir baru-baru ini.
“Projek ini telah pun diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM45 juta. Tender telah dipanggil di bawah sistem tender kerajaan semasa dan kini dalam peringkat penilaian. Kami berharap kontrak dapat dianugerahkan tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat penyelarasan pengawalan hakisan pantai di Pantai Lutong, hari ini.
Tambahnya, projek utama itu akan merangkumi lima komponen penting bagi mengawal hakisan secara menyeluruh.
“Projek penuh akan merangkumi beberapa komponen utama termasuk penambakan pantai sepanjang kira-kira 100 meter, pembinaan benteng batu, saluran keluar marin, tambak tanah beserta pintu kawalan air pasang surut dan pemecah ombak berhampiran pantai.
“Namun, reka bentuk sebenar hanya akan diketahui selepas proses penilaian tender selesai dan perunding serta kontraktor dilantik,” jelasnya.
Menurutnya, syarikat Shin Yang telah tampil melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka dengan membina benteng batu setinggi kira-kira 2.4 hingga 3 meter sebagai langkah perlindungan sementara.
“Shin Yang tampil membantu dengan segera kerana hakisan boleh berlaku pada bila-bila masa, terutama semasa hujan lebat atau air pasang besar. Mereka telah menyiapkan kira-kira 350 meter daripada keseluruhan 400 meter dan dijangka selesai dalam masa seminggu.
“Kami berterima kasih kepada Shin Yang kerana usaha ini memberikan kelegaan kepada penduduk Taman Bay Shore dan Taman Bay Shore Villa yang kini boleh berasa lebih selamat daripada ancaman hakisan dan banjir,” tambahnya.
Beliau juga memaklumkan bahawa pengaturan CSR ini telah diselaraskan dengan semua agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Jabatan Tanah dan Survei dan Pejabat Residen bagi mengelakkan sebarang pertikaian di masa hadapan.
“Kami mahu memastikan semua pihak memahami peranan masing-masing. Dengan adanya CSR ini, kerajaan dapat menjimatkan kos tambahan kerana tidak perlu melaksanakan langkah sementara yang memerlukan perbelanjaan tambahan untuk membuang struktur sementara apabila projek utama dimulakan,” katanya. -TVS