KUCHING, 10 Mac: Penjajaran semula operasi ketenteraan di Sarawak akan dilakukan, kata Panglima Divisyen Pertama Infantri (1 Div) Mejar Jeneral Datuk Khairul Anuar Abd Aziz.
Beliau berkata, ia akan melibatkan operasi yang dijalankan di sempadan dan perairan di wilayah ini.
“Kita membahagikan semula kawasan operasi melibatan sempadan Sarawak dan Indonesia selain keselamatan di Laut China Selatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.
Mengenai kunjungan hormat ke atas Abang Johari, Khairul Anuar menjelaskan, antara perkara dibincangkan termasuk peruntukan baharu kepada tentera termasuk teknologi canggih bagi mengukuhkan kawalan keselamatan di sempadan.
“Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM11 juta bagi membantu pengoperasian ini termasuk penyediaan dron dan alat Unmanned Aerial Vehicle (UAV) yang akan digunakan di sempadan antara Sarawak dan Kalimantan,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berterima kasih kepada Kerajan Sarawak atas sokongan yang diberikan dalam meningkatkan keselamatan negara terutama kawasan sempadan.-TVS