KUALA LUMPUR, 10 Mac: Kerajaan komited memastikan pembangunan teknologi kenderaan pemanduan autonomi (AV) di Malaysia dilakukan secara selamat dengan memperketat garis panduan pengujiannya.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) telah bekerjasama dengan pemain industri automotif bagi melaksanakan siri ujian kenderaan AV berpandukan Garis Panduan Pengujian Kenderaan Pemanduan Autonomi yang dibangunkan bersama dengan Futurise.
“Melalui pelaksanaan ujian ini, penemuan teknikal, hasil pengujian dan pandangan pemegang taruh akan dikaji dengan teliti untuk memastikan pembangunan peraturan yang bakal mengawal selia teknologi ini adalah menyeluruh dan bersesuaian dengan keperluan industri.
“Garis panduan ini akan memastikan bahawa pengujian kenderaan AV di Malaysia dilakukan secara selamat selaras dengan perundangan sedia ada dan menekankan aspek pelaporan serta kawalan yang jelas,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr Ahmad Azam Hamzah yang ingin tahu sama ada MOT bercadang untuk meneroka penggunaan teknologi seperti kereta pandu sendiri atau sistem kereta api tanpa pemandu serta apakah persediaan yang telah dibuat untuk mengadaptasi teknologi tersebut.
Sementara itu Hasbi berkata, garis panduan yang disediakan itu antara lain menggariskan keperluan teknikal yang perlu dipatuhi termasuk spesifikasi komponen kenderaan, sistem keselamatan AV dan prosedur pengujian yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa Malaysia sebenarnya bukan asing dalam penggunaan teknologi autonomi.
“Mod pengangkutan awam rel metro di Lembah Klang telah mengadaptasi sistem kereta api tanpa pemandu melalui perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya sejak 1998, perkhidmatan MRT Laluan Kajang sejak 2016 dan MRT Laluan Putrajaya sejak 2022.
“Pengoperasian ketiga-tiga perkhidmatan ini dikawal melalui sistem kawalan tren automatik di Pusat Kawalan Operasi (OCC), katanya lagi,” katanya. -TVS.