KUALA LUMPUR, 10 Mac: Sidang Dewan Negara dimaklumkan hampir lima juta hektar kawasan tanaman sawit di Malaysia telah memperoleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, pencapaian itu telah memperkukuhkan kedudukan minyak sawit negara sebagai produk mampan di peringkat global.
Menurut beliau, sehingga 31 Disember 2024, sebanyak 86.47 peratus atau 4.89 juta hektar kawasan penanaman sawit di Malaysia telah memperoleh pensijilan MSPO.
“(Oleh itu) pelaksanaan MSPO 2.0 bukan sahaja mengekalkan akses pasaran sedia ada, malah membuka peluang ke pasaran baharu.
“Ia memastikan pematuhan terhadap aspek alam sekitar, ketelusan rantaian bekalan serta hak pekerja, yang semakin menjadi keutamaan di peringkat antarabangsa.
“Komitmen ini bukan sahaja meningkatkan kredibiliti minyak sawit Malaysia di pasaran antarabangsa, tetapi juga memastikan pematuhan terhadap peraturan global seperti Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang akan berkuat kuasa pada 30 Disember 2025 bagi pemain industri sawit, serta 30 Jun 2026 bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya pada Sesi Pertanyaan Lisan di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datin Ros Suryati Alang yang meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan sejauh manakah hasil sawit negara kukuh sebagai produk mampan dan berkualiti tinggi yang diiktiraf di peringkat global,
selaras dengan pelaksanaan MSPO.
Sementara itu Fong Hin memaklumkan MSPO 2.0 yang diperkenalkan pada 2022 telah mengalami penambahbaikan ketara berbanding versi sebelumnya dengan memperkenalkan lapan bahagian utama yang merangkumi keseluruhan rantaian bekalan minyak sawit.
“Versi baharu ini turut memasukkan elemen tambahan seperti penilaian Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV), kalkulator Gas Rumah Kaca (GHG), penilaian Impak Sosial (SIA), tarikh akhir penebangan hutan asli pada 31 Disember 2019, serta garis panduan berkaitan buruh paksa seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” jelasnya. -TVS.