MIRI, 10 Mac: Sebuah bot tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri di kedudukan lebih kurang 3.5 batu nautika barat muara Sungai Miri atas kesalahan gagal mempamerkan dokumen yang sah serta tidak mengemukakan port clearance ketika memasuki Pelabuhan Malaysia.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot tunda bernama MACALLAN 9 bersama tongkang Angelus itu ditahan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia dalam rondaan rutin menerusi Op Permai 01/2019 dan Op Tiris 3.0 sekitar jam 5.50 petang semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tunda tersebut gagal mempamerkan dokumen yang sah termasuk Domestic Shipping License (DSL) selain tidak mengemukakan dokumen pelepasan pelabuhan ketika memasuki perairan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, bot tersebut bersama 11 kru termasuk nakhoda yang berusia antara 22 hingga 41 tahun telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Miri untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Kastam 1967 kerana gagal mematuhi syarat dokumentasi yang ditetapkan,” ujarnya.
Daripada jumlah kru yang ditahan, dua merupakan warganegara Malaysia manakala sembilan lagi terdiri daripada pelbagai warganegara iaitu dua warga Indonesia, empat warga Myanmar, dan tiga warga India.
Maritim Malaysia menegaskan pihaknya komited dalam memastikan pemantauan dan penguatkuasaan sentiasa dilaksanakan bagi membanteras sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara.
Sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim (PUSOP) Zon Maritim Miri di talian 085-649 111, Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau menerusi talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.-TVS