KUALA LUMPUR, 10 Mac: Bank Rakyat menerima dua pengiktirafan antarabangsa atas komitmennya dalam menyokong komuniti, memacu keterangkuman kewangan serta melaksanakan inisiatif kelestarian alam sekitar dan perbankan bertanggungjawab.
Bank Rakyat dianugerahkan Most Socially Responsible Bank pada Anugerah Kewangan Antarabangsa ke-12 yang berlangsung di Waldorf Astoria, Bangkok, Thailand.
Selain itu, bank tersebut turut meraih Best Environmental Excellence Award di 17th Annual Global CSR and ESG Awards 2025 yang diadakan di Ho Chi Minh City, Vietnam.

Dalam satu kenyataan, sebagai Institusi Kewangan Pembangunan, Bank Rakyat terus komited memainkan peranan penting dalam memberi impak positif dan memupuk kesejahteraan ekonomi serta sosial.
“Pada masa hadapan, Bank Rakyat berdedikasi untuk terus mengintegrasikan kemampanan dalam seluruh operasi dan strategi perniagaan Bank.
“Selain itu, menggiatkan usaha untuk membangunkan penyelesaian baharu dan bekerjasama dengan rakan strategik serta institusi yang sealiran untuk memangkinkan impak sosial yang positif,” menurut kenyataan itu.
Antara inisiatif Jangkauan Komuniti yang dijalankan sepanjang tahun termasuk program Kebun Nuri Nutrisi dan inisiatif kesukarelawanan BaktiRAKYAT yang bertujuan meningkatkan kebajikan masyarakat.
“Pelaksanaan inisiatif Jangkauan Komuniti yang direncana sepanjang tahun seperti program Kebun Nuri Nutrisi dan inisiatif kesukarelawanan BaktiRAKYAT menjadi agenda utama Bank Rakyat.
“Ia bertujuan meningkatkan kebajikan masyarakat dan memenuhi keperluan sosioekonomi semasa golongan yang memerlukan khususnya dalam kalangan ‘unserved’ dan ‘underserved’ (kumpulan yang tidak atau kurang diberi perhatian), ” menurut kenyataan itu.
Anugerah Kewangan Antarabangsa anjuran International Finance Publications Limited mengiktiraf pencapaian industri kewangan di Asia dan Eropah berdasarkan tenaga kerja, kepimpinan serta nilai bersih industri.
Sementara itu, Annual Global CSR and ESG Awards oleh The Pinnacle Group International mengiktiraf syarikat yang cemerlang dalam produk, perkhidmatan dan program bertaraf dunia.-TVS