Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Mohd Azri Sahari dan Nur Asfa Mirzaqaid Asmadi ketika ditemui TVS di majlis penutupan Program Bootcamp Offshore Catering Crew di IKBN Miri, hari ini. Foto TVS

20 graduan IKBN dapat peluang kerjaya bersama SOCC

ByTasha Jenkins Likan Anak Siti

MIRI, 10 Mac: Seramai 20 graduan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri telah berjaya mendapat peluang pekerjaan bersama SOCC Offshore Sdn Bhd selepas menamatkan latihan intensif mereka.

Program ini merupakan hasil kerjasama antara IKBN Miri dan SOCC, yang bertujuan melahirkan tenaga kerja mahir dalam industri katering luar pesisir.

Mohd Azri Sahari, salah seorang graduan yang terpilih, meluahkan rasa syukur dan bangganya kerana berjaya mencapai impian yang diidamkan sejak lapan tahun lalu.

“Saya sangat terharu kerana ini adalah cita-cita saya. Peluang yang diberikan oleh IKBN dengan kerjasama SOCC sangat dihargai. Saya juga berbangga dengan pencapaian kami seramai 20 orang yang telah berjaya mengharungi segala cabaran sepanjang latihan,” katanya ketika ditemui TVS di majlis penutupan Program Bootcamp Offshore Catering Crew di IKBN Miri, hari ini.

Mohd Azri turut menasihati rakan-rakan seperjuangannya untuk menjalankan tugas dengan penuh yakin serta menekankan aspek keselamatan ketika bekerja di laut.

“Saya berharap dapat bekerja dengan baik bersama tenaga kerja berpengalaman di atas kapal dan menimba lebih banyak ilmu dalam industri ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Nur Asfa Mirzaqaid Asmadi turut berkongsi keterujaannya kerana berpeluang menyertai SOCC.

“Alhamdulillah, tidak sangka dapat menyertai SOCC dalam masa yang terdekat ini. Banyak pengalaman baru yang diperoleh, termasuk bekerja dalam pasukan seramai 20 orang tahun ini, meningkat daripada 15 orang tahun lalu,” ujarnya.

Nur Asfa menjelaskan bahawa selepas menjalani latihan selama sebulan tiga minggu, mereka akan mengikuti latihan praktikal selama dua minggu sebelum ditempatkan di pelantar minyak yang telah ditetapkan oleh SOCC.

“Saya menggalakkan lebih ramai anak muda untuk menyertai program ini pada tahun depan melalui bootcamp 5.0, yang akan berlangsung pada 1 Januari,” katanya.

Nur Asfa juga berharap dapat memberi sumbangan terbaik kepada syarikat dan membawa nama IKBN serta SOCC ke peringkat antarabangsa.

“Saya berhasrat untuk menjayakan visi dan misi syarikat serta mengharumkan nama IKBN di mata dunia,” tambahnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan