MIRI, 9 Mac: Wanita di Sarawak terus membuktikan kemampuan dalam pelbagai bidang termasuk memegang jawatan tinggi dan melestarikan warisan budaya.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, golongan tersebut kini memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri dengan peluang yang lebih adil diberikan tanpa mengira jantina.
“Sebenarnya di Sarawak, saya tidak melihat kita mempunyai masalah besar berkaitan kesaksamaan jantina. Saya rasa semakin ramai wanita memegang jawatan tinggi, memainkan pelbagai peranan dalam bidang berbeza dan ramai wanita kini melanjutkan pelajaran di universiti.
“Malah, saya rasa di kebanyakan universiti, terdapat lebih ramai pelajar wanita berbanding lelaki,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia anjuran Persatuan Wanita Orang Ulu Miri, hari ini.
Menurutnya, tema Hari Wanita Sedunia tahun ini iaitu Mempercepatkan Tindakan, mencerminkan kepentingan bertindak pantas dan tegas untuk mencapai kesaksamaan gender.
Ia juga seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-5 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menumpukan usaha menghapuskan diskriminasi serta mempromosikan penyertaan wanita secara menyeluruh dalam masyarakat.
Beliau turut memuji usaha Persatuan Wanita Orang Ulu Miri dalam memelihara budaya tradisional termasuk penganjuran kelas tarian dan kraf tangan untuk generasi muda.
“Saya lihat wanita Orang Ulu memainkan peranan aktif dalam pelbagai bidang dan semakin ramai daripada mereka memegang jawatan kanan dalam pelbagai pekerjaan.
“Persatuan ini juga menganjurkan banyak program untuk memperkasa wanita, terutama dalam kalangan komuniti Orang Ulu termasuk mempromosikan hasil kraf tangan seperti manik dan memperkenalkan budaya mereka kepada masyarakat luar,” tambahnya.
Menurutnya, kemahiran tradisional seperti pembuatan manik dan anyaman harus dipelihara kerana ia bukan sahaja melambangkan identiti budaya tetapi turut berpotensi menjadi sumber pendapatan yang bernilai tinggi di pasaran antarabangsa.
“Di zaman moden ini, apabila banyak perkara dihasilkan secara automatik, barang yang dibuat dengan tangan menjadi sangat berharga dan boleh mendapat harga tinggi di pasaran antarabangsa,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting, Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang dan Pengerusi Persatuan Wanita Orang Ulu Miri, Kijan Tonybee.-TVS